KUALA LUMPUR 18 Mac – Seorang lelaki cedera parah selepas kereta unit kejuruteraan lapangan terbang yang dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah pesawat persendirian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang hari ini.
Difahamkan, kemalangan berlaku kira-kira pukul 3.20 pagi ketika kerja-kerja mengecat landasan sedang dijalankan.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan memberitahu, lelaki yang juga memandu kenderaan itu kini sedang menjalani rawatan di hospital.
“Kita menerima laporan kemalangan tersebut kira-kira pukul 3.20 pagi dan pasukan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) tiba di lokasi kejadian seminit selepas itu.
“Penumpang dan kru kabin pesawat persendirian itu tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan tersebut,” katanya.
Menurut kenyataan itu, beberapa kapal terbang juga dijadualkan tiba lewat bagi memastikan proses membersihkan landasan akibat kemalangan tersebut berjalan lancar.
Jelasnya, MAHB sudah menubuhkan pasukan siasatan khas yang akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk mengenal pasti punca kejadian.
Tambahnya, Kementerian Pengangkutan juga sudah mengarahkan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) untuk menyiasat insiden itu secara menyeluruh. – UTUSAN ONLINE











