ARAU 18 Mac – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap hormat oleh Duta Besar Negara Qatar ke Malaysia, Fahad Mohammad Kafoud di Balai Menghadap Biru Istana Arau baru-baru ini.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Dalam majlis tersebut Fahad yang diiringi Timbalan Ketua Pejabat Perwakilan mereka di Kuala Lumpur, Mansoor Ali Al-Hajri memuji sikap keramahan rakyat negeri Perlis sepanjang mereka berada di sini.
Beliau juga mempersembah maklumkan kesediaan pihak Kedutaan Besar Qatar untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan, pelaburan dan juga bantuan kepada mangsa-mangsa pelarian antarabangsa khususnya dalam aspek pendidikan anak-anak mereka.
Dalam majlis tersebut Tuanku Raja Perlis turut memperkenankan agar pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menjadi satu-satunya agensi penghubung dan penyelaras di antara pihak negeri ini dengan Kedutaan berkenaan dalam segala peluang kerjasama yang bakal diterokai secara bersama di masa yang akan datang nanti.
Terdahulu pada sebelah paginya, Fahad mengadakan lawatan ke kampus induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh Putra disambut oleh Naib Canselornya Datuk Prof. Zul Azhar Zahid Jamal dan melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra universiti tersebut.
Selepas majlis mengadap ke bawah duli Tuanku, beliau 48 tahun berkelulusan Sarjana Muda dalam jurusan Ekonomi dan Perakaunan dari Qatar University diberi taklimat pembangunan ekonomi Negeri Perlis yang disampaikan oleh pihak Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis dan juga Pejabat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Negeri Perlis serta melawat Galeri Diraja Arau.











