KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V muncul buat kali pertama di khalayak umum selepas berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Muhammad V disambut Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob,Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub serta barisan pemimpin negeri.
Turut berkenan mencemar duli ke istiadat tersebut, Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra.
Pembukaan DUN bagi penggal ini agak unik apabila berlangsung serba ringkas tanpa istiadat perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan seperti kebiasaan.
Malah, Sultan Muhammad V juga tidak bertitah panjang kecuali berkenan merasmikan istiadat tersebut semata-mata sebelum mencemar duli bergambar bersama barisan Exco Kerajaan Pas Kelantan, pembesar negeri serta wakil-wakil rakyat.
Ini kali pertama baginda muncul di khalayak umum selepas meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa 6 Januari lalu.
Sementara itu, Mohd. Amar ketika ditemui berkata, upacara ringkas tanpa perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan dalam istiadat pembukaan DUN kali ini merupakan atas arahan baginda Sultan Kelantan sendiri.
“Semalam baginda bertitah supaya tidak diadakan perbarisan kerana mengambil kira keadaan cuaca panas melanda negara sekarang,” katanya. – K! ONLINE











