ALOR GAJAH – Empat jurukaunter tiket taman tema air A’Famosa Resort berdepan hukuman penjara 14 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan kerugian RM100, 000, tahun lalu.
Tertuduh, Farina Mohd. Yusof, 24, S. Lalitha, 27, Norlina Sulaiman, 35, dan Zainah Jenal, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama-sama sebagai jurukaunter tiket taman tema air A’Famosa telah membuat cetakan tiket pendua secara berulang kali dan menjual tiket tersebut tanpa pengetahuan serta kebenaran syarikat bernilai RM100,000.
Tindakan itu dilakukan tertuduh di kaunter tiket taman tema air A’Famosa, Alor Gajah antara 1 hingga 30 April 2018.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda mengikut Sesyen 408 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap tertuduh, namun kesemua wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan menanggung ahli keluarga masing-masing.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Ahmad Sazali membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 setiap seorang dan menetapkan tarikh 12 April depan untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes. – K! ONLINE











