LONDON – Satu program kemasyarakatan dikenali sebagai peti sejuk komuniti terus mendapat sambutan warga Britain dengan satu lagi peti sejuk ditempatkan di bandar raya ini.
Idea itu diperkenalkan pada 2016 selepas satu kajian mendapati secara purata keluarga di Britain membuang makanan dan minuman bernilai £810 (RM4,407) setahun.
Skim baharu itu memudahkan penduduk dan ahli perniagaan meletakkan buah-buahan serta sayur-sayuran yang tidak dikehendaki di dalam peti sejuk tersebut yang boleh diambil penduduk dalam kesusahan.
Terdapat kira-kira 50 peti sejuk komuniti telah disediakan di seluruh Britain sejak program tersebut dilancarkan dan terkini, satu peti sejuk komuniti ditempatkan di The Sheriff Centre di sini pada Selasa lalu.
“Saya sering memikirkan mengenai lebihan makanan dan percaya ia tidak adil. Ada antara kita tidak mampu makan tiga kali sehari manakala ada pula yang membuang makanan mereka,” kata seorang pelajar tempatan, Tamara Jacobs, 19.
“Jadi kita mesti ambil tindakan untuk mengedarkan sumber makanan yang ada secara adil,” tambah Jacobs yang memulakan gerakan meletakkan sebuah peti sejuk komuniti ditempatkan di The Sheriff Centre.
Idea tersebut turut mendapat sokongan Ahli Parlimen Hampstead dan Kilburn, Tulip Siddiq dan Kaunselor Camden, Angela Mason yang mengatakan ia adalah satu langkah bijak. – Agensi











