ALOR SETAR – Satu mayat ditemukan dalam keadaan tertiarap dan terbakar di dalam kawasan bendang di Jalan Gunung, Anak Bukit dekat sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah,Senior Asisten Komisioner Mior Farid Alatrash Wahid ketika dihubungi berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada pukul 11.40 pagi tadi.
“Buat masa ini, kita klasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan keputusan penuh hanya akan diketahui selepas proses bedah siasat dijalankan pagi esok di Hospital Sultanah Bahiyah dan lepas itu baru boleh tahu ia kes bunuh atau tidak.
“Kita tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa jadi belum tahu identiti sebenar mangsa lagi, bagaimanapun dipercayai bukan warga tempatan,” katanya.
Beliau berharap sesiapa yang kehilangan anggota keluarga supaya datang ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan. – Bernama











