ALOR SETAR – Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff hari ini menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa insiden keganasan di dua masjid di Christchurch, New Zealand semalam.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Sallehuddin Kolonel (K) Datuk Elmi Yusoff dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini memaklumkan baginda berdua amat berdukacita dengan apa yang berlaku dan mengharapkan kesemua anggota keluarga mangsa terbabit tabah menghadapi dugaan itu.
“Baginda juga sedia maklum terdapat seorang mangsa insiden itu dari Kedah. Baginda dukacita atas apa berlaku itu. Harap keluarga Mohd Tarmizi Shuib bersabar atas dugaan ini,” katanya.
Elmi berkata, Sultan Kedah turut bertitah bahawa insiden seumpama itu diharapkan tidak berlaku lagi pada masa depan kerana ramai orang tidak bersalah terutamanya umat Islam yang dikatakan sedang menunaikan Solat Jumaat menjadi korban dalam serangan bersenjata itu.
Beliau berkata, berikutan insiden itu, Sultan Sallehuddin bertitah agar umat Islam di negara ini perlu terus bersatu hati dan bersepakat merapatkan saf supaya menjadi kuat dalam usaha menghadapi musuh Islam yang sentiasa mencari jalan merosakkan imej agama Islam. – Bernama











