KUALA LUMPUR 16 Mac – Sebanyak 15 pasukan berentap dalam program Cabaran 24 Jam (24 Hours Challenge) yang perlu menggunakan lima trip pengangkutan awam untuk tiba di Hotel Adya Chenang Langkawi, esok sempena mempromosi Pameran Antarabangsa Maritim dan Angkasa Langkawi 2019 (LIMA’19).
Setiap pasukan bakal merebut hadiah utama iaitu wang tunai RM3,000 dan dua tiket penerbangan pergi balik ke Bangkok tajaan Malaysia Airlines (MAS).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, program berbentuk cabaran ini adalah julung kali diadakan oleh kementeriannya sempena LIMA ke-15 pada tahun ini.
“Pertandingan ini juga merupakan salah satu pengisian aktiviti promosi dan pemasaran LIMA’19 yang akan berlangsung pada 26 hingga 30 Mac depan.
“Selain sebagai mempromosi LIMA’19, pertandingan ini juga diadakan bagi menanam minat orang awam untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai mod pergerakan utama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan dan melepaskan para peserta pertandingan 24 Hours Challenge #funtasticLIMA19 di KL Sentral di sini pagi tadi.
Pada pertandingan itu, peserta perlu menggunakan perkhidmatan tren, kapal terbang, feri, Grab atau teksi untuk tiba di titik akhir di Langkawi sebelum pukul 12 tengah hari esok.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Adib Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian, Syed Nasir Syed Ahmad, Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB), Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MAS, Ahmad Luqman Mohd. Azmi. – UTUSAN ONLINE











