KUALA LUMPUR 16 Mac – Skuad Bawah 19 (B-19) tahun negara akhirnya mencatat kemenangan pertama apabila berjaya menewaskan Kelab Remaja V-Varen Nagasaki 2-1 dalam Kejohanan Piala Sanix di Fukuoka, Jepun, hari ini. Kemenangan yang diperoleh pasukan negara itu sangat melegakan pengendalinya , Bojan Hodak. Dalam perlawanan tersebut menyaksikan pasukan lawan menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 33 menerusi pemain tengah V-Varen Nagasaki, Yoshiki Shibata.
Gol pertama negara di jaringkan oleh penyerang muda negara, Lukman Haqim Shamsudin pada minit ke 35 dan kemudiannya di susuli dengan jaringan kemenangan oleh rakan sepasukan, Muhamad Firdaus Kaironnisam pada minit ke 58.
Secara keseluruhan dapat dilihat permainan skuad negara hari ini lebih bertenaga dan berdisiplin sehingga minit akhir perlawanan. Penjaring gol kemenangan pasukan negara, Muhamad Firdaus Kaironnisam gembira dengan kemenangan yang diperoleh malah menyifatkan ia hasil daripada semangat kerjasama yang baik dalam kalangan rakan sepasukan. “Saya rasa kami menang hari ini bukan sebab jaringan kemenangan saya tapi kerana kawan-kawan berikan sehabis baik dan seratus peratus. “Saya rasa bangga dapat menjaringkan gol sebab saya rasa pihak lawan kami semuanya adalah pasukan yang terhandal di Jepun dan itu ialah satu cabaran yang sukar untuk saya dan pasukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











