KUALA LUMPUR 16 Mac – Bot pancing bernombor pendaftaran QKH9393Z yang ditahan pihak berkuasa Indonesia berhampiran sempadan perairan antarabangsa di Tanjung Datu, Sematan, Kuching, Sarawak pada Rabu lalu disahkan masih berada dalam perairan negara.
Memetik laporan Harian Metro, ketika kejadian bot berkenaan berada di kedudukan 95.76 kilometer dari Tanjung Datu, Sematan.
Penolong Pengarah Kanan Unit Carilamat dan Bantuan Bencana, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Leftenan Komander Musli Jaffar memberitahu akhbar itu, pihak berkuasa negara jiran menganggap lokasi berkenaan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia.
Menurutnya, sebaik sahaja kedudukan bot itu disahkan masih berada dalam perairan Malaysia, pihaknya menerusi ibu pejabat Maritim Malaysia di Putrajaya berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia dan mengadakan rundingan pembebasan bot bersama 11 pemancing dan tiga kru yang ditahan.
“Alhamdulillah, hasil kerjasama pihak berkuasa maritim kedua-dua negara, akhirnya isu ini diselesaikan dengan baik dalam tempoh singkat.
“Semua pemancing dan kru bot dilayan dengan baik sepanjang ditahan di jeti Pangkalan TNI-AL, Pulau Batang di Natuna,” katanya dalam sidang akhbar di jeti Kelab Bot Santubong semalam.
Tambah Musli, selepas dibebaskan, bot pancing menempuh perjalanan selama 23 jam sebelum tiba di Santubong.
Sementara itu, beliau berkata, sebuah lagi bot berdaftar di Sarawak ditahan di lokasi hampir sama pada Selasa lalu, masih berada di negara jiran.
“Bagaimanapun, semua kru bot adalah warga Indonesia dan ketika ditahan pihak berkuasa Indonesia, mereka memasang bubu di perairan Tanjung Datu,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE











