Premis perniagaan dijadikan makmal ekstasi - Utusan Malaysia

Premis perniagaan dijadikan makmal ekstasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 15 Mac – Polis menumpaskan satu sindiket menghasilkan pil­ ekstasi terbesar di nega­ra ini yang didalangi warga Singapura selepas menyerbu sebuah makmal memproses dadah di kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) di sini kelmarin.

Warga asing berusia 53 tahun itu dipercayai pakar dalam penghasilan dadah sintetik sehingga mampu menjadikan makmal tersebut bebas daripada bau bahan kimia untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Antara dadah yang dirampas dalam serbuan bermula dari pukul 8 pagi hingga 9 malam itu ialah 285.6 kilogram serbuk dadah yang mampu menghasilkan satu juta biji pil ekstasi, 562 biji pil ekstasi dan 6.3 kilogram sya­bu yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM30 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turut ditahan dalam serbuan di makmal tersebut serta sebuah rumah di Taman Gadong dekat sini ialah dua lagi lelaki Singapura dan seorang lelaki tempatan berusia antara 48 dan 60 tahun.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, siasatan mendapati makmal dadah tersebut yang beroperasi lebih sebulan lalu berdaftar di bawah perniagaan membaiki mesin-mesin terpakai.

“Ini merupakan kali pertama kita menyerbu makmal dadah yang tidak mengeluarkan bau bahan kimia.

“Rampasan ini adalah yang terbesar setakat tahun ini dan dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, dalam serbuan di kediaman suspek warga asing terbabit di Johor Bahru, polis merampas pelbagai jenis bahan kimia serta peralatan untuk memproses dadah.

Dalam serbuan itu ujarnya, enam buah kenderaan termasuk empat buah kereta, sebuah motosikal dan sebuah jet ski yang kesemuanya bernilai RM337,080 dan wang tunai RM2,080 disita.

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 20 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini