SHAH ALAM 15 Mac – Datuk Ong Kim Swee akan menggunakan perlawanan menentang skuad Australia bawah 23 (B-23), Ahad ini untuk menguji pemain yang jarang mendapat peluang beraksi untuk memastikan mereka berada pada tahap terbaik menjelang kelayakan Kejuaraan B-23 AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), minggu depan.
Ketua jurulatih skuad B-23 negara itu berkata, beliau perlu memberikan lebih banyak peluang kepada pemain kerana mahu mereka berada dalam kecergasan terbaik untuk menghadapi kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam dari 22 hingga 26 Mac ini.
“Perlawanan ini bukan percubaan lagi dan saya akan menurunkan barisan terbaik, dan mungkin memerlukan khidmat pemain yang jarang diturunkan untuk aksi pembukaan pusingan kelayakan menentang Filipina,” katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Kim Swee berkata, perlawanan menentang Australia juga menjadi kayu pengukur persediaan skuad muda negara menghadapi kelayakan AFC kerana pasukan lawan yang dibimbing Graham Arnold itu antara pasukan terbaik Asia ketika ini.
Dalam pada itu, Kim Swee yakin 27 pemain yang dipanggil untuk latihan pusat kali ini tidak berdepan masalah walaupun terlibat dalam pelbagai pertandingan termasuk Piala Belia (B-19), Piala Presiden (B-21) dan Liga Perdana.
Malaysia yang menjadi hos kumpulan J pusingan kelayakan, bakal membuka kempen menentang Filipina pada 22 Mac, Laos (24 Mac), sebelum menamatkan pusingan awal menentang China, selang dua hari kemudian.











