KUALA LUMPUR 15 Mac – Malaysia Airlines dilaporkan sedang mengkaji semula tempahan bagi 25 buah pesawat Boeing 737 MAX selepas insiden yang melibatkan model pesawat berkenaan.
Menurut laporan Reuters, syarikat penerbangan itu berkata, ia telah memulakan proses usaha wajar untuk memastikan operasi masa depan Boeing 737 MAX susulan insiden baru-baru ini.

Katanya, Malaysia Airlines sedang mengkaji semula keseluruhan program bagi pesawat 737 MAX.
Julai tahun lalu syarikat tersebut dilaporkan sedang mendapatkan pinjaman bank bagi membeli sembilan buah pesawat Boeing 737 MAX yang akan menjadi pembiayaan pertama syarikat penerbangan itu sejak melaksanakan penstrukturan semula lebih tiga tahun lalu, menurut sumber yang tidak asing dengan perkara tersebut.
Pembiayaan itu merupakan ujian utama bagi syarikat penerbangan berkenaan yang telah diambil alih oleh Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) pada Disember 2014, beberapa bulan selepas peristiwa kehilangan MH370 dan MH17 ditembak jatuh di Ukraine.
Sumber daripada industri kewangan yang enggan dikenali berkata, bank-bank di Malaysia, Eropah dan China dijangka bersaing untuk membiayai pembelian pesawat terbabit selepas Malaysia Airlines menghantar permintaan untuk cadangan beberapa minggu lalu.
Semua pesawat tersebut dinilai dengan harga sekitar AS$1 bilion (RM4.07 bilion), namun syarikat penerbangan kebiasaannya akan mendapat diskaun yang besar daripada pengeluar.
Malaysia Airlines telah menghentikan pajakan operasi bagi pesawat badan lebar sejak penstrukturan semula, tetapi ini adalah kali pertama ia cuba mendapatkan pembiayaan dengan pemberi pinjaman, kata sumber.
Syarikat itu mempunyai pesanan sebanyak 25 buah pesawat 737 MAX bersama Boeing. –REUTERS











