KUALA LUMPUR 15 Mac – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kecewa apabila individu yang menembak mati umat Islam di Christchurch, New Zealand tidak dilabel sebagai ‘pengganas’.
Kecaman itu disuarakan oleh Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah yang melihat situasi itu sebagai pilih kasih.
“Ini pilih kasih oleh media asing yang sengaja menjernihkan sikap pengganas yang menyerang umat Islam di Christchurch, New Zealand.
“Apabila orang Islam melakukan serangan, satu dunia melabelkan ‘pengganas’ dan ini memberi isyarat jelas bahawa umat Islam perlu bersatu menentang dakyah dan propaganda yang sengaja menjentik hati umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong mengenai cadangan hukuman berat yang wajar dikenakan terhadap individu menghina nabi di Pintu 3, Istana Negara di sini hari ini.
Memorandum tersebut diterima oleh Setiausaha Sulit kepada YDPA di balai pengawal di sini.
Bantahan sama dizahirkan oleh Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia, Kesatuan Melayu Nasional (KMN) dan Majlis Bendahara Malaysia.
Mengulas lanjut, Abdul Rani yang lebih mesra dikenali sebagai Ayahanda berkata, kerajaan New Zealand wajar menjadikan Malaysia sebagai contoh asimilasi budaya yang hidup dengan penuh kerukunan.
“Jadikanlah negara ini sebagai contoh terbaik, kita hidup penuh aman damai, Islam bebas diamalkan tanpa menafikan hak penganut agama lain,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE











