Pencemaran toksik:Kerajaan negeri perlu dengar pandangan semua pihak - Utusan Malaysia

Pencemaran toksik:Kerajaan negeri perlu dengar pandangan semua pihak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG 15 Mac – Kerajaan negeri perlu mengambil pandangan semua pihak berkaitan berhubung kes pencemaran toksik di Sungai Kim Kim termasuk perlu melakukan kajian menyeluruh yang boleh dijadikan panduan pada masa akan datang.

MOHAMED KHALED NORDIN
MOHAMED KHALED NORDIN 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehubungan itu, UMNO menyambut baik titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu Menteri Besar, Datuk Osman Sapian menubuhkan satu jawatankuasa khas.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu penting terutama untuk mengenal pasti beberapa perkara dalam menangani isu pencemaran toksik itu dan pada masa sama, merangka satu prosedur yang boleh diguna pakai dan dijadikan rujukan pada masa akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang bencana ini pertama kali berlaku, kita tiada pengalaman dalam perkara itu kerana tidak pernah melaluinya dan atas sebab itu pandangan semua pihak perlu diambil, buat jawatankuasa khas seperti dititahkan Tuanku Sultan Johor.

“Jemput semua pihak terlibat menganggotai jawatankuasa khas itu, dapatkan masihat daripada pakar supaya keputusan tepat boleh dibuat sekali gus dan meminimakan kesan daripada sesuatu kejadian itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat dan bertanya khabar petugas, pihak berkuasa dan mereka yang dirujuk ke pusat rawatan awal mangsa pencemaran toksik di stadium tersebut.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled meminta Osman memberi penjelasan berhubung kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid yang menegur tindakan kerajaan negeri membenarkan sekolah di kawasan dicemari toksik dibuka semula semasa sisa bahan tersebut belum dibersihkan.

Menurutnya, kenyataan Ketua Pengarah JBPM itu boleh ditafsirkan seolah-olah kerajaan negeri cuai dalam menangani insiden tersebut kerana itu membabitkan soal kesihatan dan keselamatan rakyat sekali gus tidak boleh dipermainkan.

“Atas sebab itu, saya minta Menteri Besar menjelaskan perkara tersebut. Kita difahamkan juga selepas tujuh hari baru nak minta sokongan daripada beberapa pihak termasuk kerajaan Pusat, itu juga menunjukkan dalam tempoh itu tiada kajian secara profesional dan menyeluruh dibuat.

“Saya percaya soal keselamatan dan kesihatan rakyat tidak boleh dipermainkan, terpulang pada Osman nak dengar atau tidak tetapi saya akan terus bersuara, dalam media sosial semua rakyat bersuara mengenai kejadian itu termasuk melahirkan kebimbangan mereka,” katanya.

Justeru, Mohamed Khaled berkata, kajian berhubung insiden tersebut perlu dibuat segera dan bagaimana  boleh memberi kesan kepada masyarakat terutama di Pasir Gudang yang merupakan kawasan industri kerana tidak mustahil perkara sama boleh berulang.

Mohamed Khaled juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau hanya mempolitikkan isu tersebut adalah tidak benar kerana bekas Menteri Besar itu menyuarakan pendapat serta pandangan supaya  tidak berulang sebab melibatkan kesihatan dan keselamatan rakyat. – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini