ALOR GAJAH 15 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket menghasilkan pil ekstasi terbesar di negara ini selepas menyerbu sebuah makmal memproses dadah yang di kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) di sini kelmarin.
Dalam serbuan itu yang bermula pukul 8 pagi hingga 9 malam, polis turut merampas kira-kira 285.6 kilogram (kg) serbuk dadah yang mampu menghasilkan satu juta biji pil ekstasi, sebanyak 562 biji ekstasi dan 6.3kg dadah jenis syabu yang keseluruhannya bernilai RM30 juta.
Turut ditahan, dua lelaki warga Singapura dan seorang lelaki tempatan berusia antara 48 hingga 60 tahun turut di makmal tersebut dan sebuah rumah di Taman Gadong dekat sini.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, rampasan itu adalah yang terbesar setakat tahun ini dengan anggaran penghasilan hampir satu juta biji pil ekstasi untuk pasaran antarabangsa.

Menurutnya, kegiatan pemprosesan itu dipercayai berlaku sejak lebih sebulan lalu iaitu sindiket tersebut menyewakan premis yang berdaftar di bawah perniagaan membaiki mesin-mesin terpakai.
“Hasil risikan sepasukan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN negeri, kita berjaya menghidu kewujudan makmal ekstasi ini dan membuat serbuan pada pukul 8 pagi Rabu lalu.
“Polis juga telah membuat serbuan di kediaman suspek warga asing tersebut di Johor Bahru, Johor dan merampas pelbagai jenis bahan kimia untuk memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE












