SEBERANG PERAI – Satu sindiket pengedaran dadah tumpas selepas polis menahan dua beradik berusia 32 dan 34 tahun dalam serbuan di tepi jalan di Bagan Jermal dan sebuah rumah di Taman Melor, Butterworth di sini kelmarin.
Dalam operasi kira-kira pukul 11 malam itu, polis merampas sejumlah dadah disyaki jenis heroin dan syabu bernilai kira-kira RM84,700 di dalam sebuah kereta jenis Proton Waja dan di rumah suspek.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor pada sidang akhbar sebentar tadi berkata, pihaknya merampas dadah disyaki heroin seberat kira-kira 2,100 gram (g) dan 4.53 g syabu.
Menurutnya, polis turut menyita pelbagai barangan termasuklah tiga buah kereta iaitu jenis Honda City, Perodua Viva dan Perodua Kancil bernilai RM78,000, wang tunai RM4,050 dan barang kemas bernilai RM14,992.
Suspek direman semalam tujuh hari sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











