Empat sekeluarga termasuk nenek didakwa miliki barang curi - Utusan Malaysia

Empat sekeluarga termasuk nenek didakwa miliki barang curi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH – Empat sekeluarga melibatkan nenek, menantu dan dua cucu lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencuri dan memiliki barang curi Jumaat lalu.

Tertuduh, P. Neela, 60, menantunya, S. Indra, 39, serta dua cucu lelakinya, Durai Raj, 20, dan seorang lagi berusia 17 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Mohd. Fitri Sadaruddin. 

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa secara bersama-sama mencuri pelbagai barangan bernilai RM900 milik pasar raya 99 Speedmart di pasar raya tersebut di Laluan Hijau 1, Taman Pusing Hijau di sini antara pukul 5 petang hingga 6.30 petang 8 Mac lalu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, tertuduh boleh dikenakan denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Semua mereka turut didakwa memiliki pelbagai jenis pakaian bertanda TF Value Mart yang disyaki dicuri dari pasar raya berkenaan di Stesen Minyak Petron Pusing, Jalan Pusing-Lahat di sini pada pukul 6.30 petang hari sama. 

Bagi pertuduhan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1995 yang boleh dihukum denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim manaka tertuduh diwakili peguam bela, S. Sundarajan. 

Pihak pendakwaan memohon mahkamah agar tidak membenarkan tertuduh diikat jamin namun Sundarajan memohon kesemua mereka dibenarkan jamin. 

Mohd. Fitri kemudian membenarkan remaja tersebut diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin manakala tiga yang lain dibenarkan ikat jamin masing-masing RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Kesemua tertuduh gagal membayar wang jaminan berkenaan. Remaja tersebut dibawa ke Asrama Akhlak Pokok Sena, Kedah. Nenek dan menantunya dibawa ke Penjara Tapah manakala cucunya dibawa ke Penjara Taiping. 

DURAI Raj 20, (berbaju merah) didakwa atas dua pertuduhan iaitu mencuri dan memiliki barang curi Jum
Durai Raj (berbaju merah) didakwa atas dua pertuduhan iaitu mencuri dan memiliki barang curi Jumaat lalu di Mahkamah Majistret, Batu Gajah di sini. Foto oleh KAMAL BASIR WAHAB

Mahkamah menetapkan 4 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kosmo! pada Ahad lalu melaporkan, seorang nenek tergamak bersekongkol dengan anak perempuan dan dua cucu lelakinya untuk mencuri pelbagai barangan di sebuah pasar raya sebelum kesemuanya diberkas dalam kejadian di Taman Pusing Hijau, Pusing di sini.

Tembelang empat sekeluarga itu terbongkar selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan mengenai kejadian kecurian pelbagai jenis barangan di premis tersebut bernilai RM900 pada pukul 6 petang.

Difahamkan, keluarga pencuri itu didalangi oleh wanita berusia 38 tahun manakala dua anaknya dan warga emas yang juga ibunya berusia antara 17 hingga 60 tahun itu bertindak sebagai pembantunya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini