JOHOR BAHRU 13 Mac – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 bagi sekolah yang terjejas dan diarahkan tutup disebabkan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, pada Khamis lalu boleh mendapat keputusan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang, esok.
Kementerian Pendidikan menerusi Lembaga Peperiksaan dalam satu kenyataan memberitahu, calon SPM boleh mendapat keputusan mereka seawal pukul 10 pagi di PPD Pasir Gudang yang terletak di Sekolah Kebangsaan Seri Kota Puteri 4, Jalan Penaga, Bandar Baru Kota Puteri.
“Lembaga Peperiksaan prihatin dengan situasi yang dihadapi oleh calon yang terjejas dengan bencana tersebut dan akan memastikan calon dapat menyemak keputusan SPM di tempat yang lebih selamat.
“Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2018 melalui mySMS15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula 10 pagi esok dan akan ditamatkan pada pukul 6 petang pada 20 Mac ini,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Keputusan juga boleh disemak melalui laman web Lembaga Peperiksaan (LP) di alamat sppat.moe.gov.my/semakan. – UTUSAN ONLINE











