Ukiran inai tambah pendapatan - Utusan Malaysia

Ukiran inai tambah pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 13 Mac – Seorang wanita membe­lek-belek ukiran inai di tangannya sambil tersenyum berpuas hati dengan corak dihasilkan seorang pengukir inai, Aznatul Fazliah Mohd. Razim.

Bagi Aznatul Fazliah, 27, senyuman pelanggannya itu sudah cukup memberi kepuasan dan perangsang untuk terus berkarya dan menghasilkan yang terbaik.

Anak sulung daripada empat beradik itu merupakan seorang pengukir inai di kaki, tangan dan tapak tangan dari Sri Alam di sini yang menjalankan perniagaan Henna Fazz sejak 2012.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia yang juga seorang guru berkata, ukiran inai merupakan seni indah dan istimewa, setiap lukisan dihasilkan Henna Fazz akan dipastikan berkualiti serta memuaskan pelanggan.

“Cabaran datang daripada diri sendiri. Apabila susah untuk berpuas hati dengan hasil kerja akan sentiasa mencari kelemahan yang perlu diperbaiki sehingga sekarang.

“Ilmu dan teknik ukiran inai atau henna sangat luas, banyak lagi yang perlu saya pelajari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bekas penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, minatnya dalam bidang itu dipupuk semasa sedang me­nuntut di USM apabila setiap pelajar diwajibkan mengambil subjek keusahawanan.

“Setiap pelajar ditugaskan mencari satu bisnes untuk menonjolkan diri dalam perniagaan. Disebabkan saya berlatarbelakangkan Pelajar Fakulti Seni dan Henna agak terkenal di Penang, jadi saya mengambil keputusan mencari satu perniagaan yang mewakili seni.

“Semuanya bermula secara tidak sengaja dengan modal RM20 dan ukiran inai saya mula diterima sehingga ada me­nempah ukiran inai untuk majlis tertentu selain untuk suka-suka,” katanya.

Aznatul Fazliah hanya menjadikan ukiran inai sebagai pendapatan tambahan, namun hasilnya lumayan setiap kali cuti sekolah mampu memperoleh antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Dia tidak bercadang menjadikan bidang itu sebagai kerjaya utama kerana masih menjadi guru di sebuah sekolah antara­bangsa di bandar raya Johor Bahru.

Menurutnya, kejayaannya juga terdorong daripada pesan bapanya iaitu mencari sesuatu perkara atau melakukan sesuatu pekerjaan perlu ada minat, suka dan cinta.

“Selepas ini berikan fokus dan buat betul-betul hingga berjaya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini