KUALA LUMPUR 13 Mac – Penganjuran Anugerah Tani Bernas (ATB) tahun ini diteruskan lagi bagi menghargai kesungguhan golongan pesawah, pengilang dan pemborong dalam melestarikan keharmonian industri padi dan beras negara.
Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam kenyataan berkata, ATB 2019 yang bakal diadakan pada Isnin depan di Hotel Palace of Golden Horses, Seri Kembangan dan merupakan satu platform yang ideal bagi menunjukkan sokongan terhadap rakan tani, khususnya pesawah, pengilang bumiputera dan pemborong bumiputera yang tidak pernah jemu untuk saling melengkapi rantaian bekalan beras tempatan negara.
“Bernas yang mempunyai hubungan langsung dengan industri padi dan beras negara berharap penganjuran ATB 2019 dapat memberi dorongan kepada rakan tani yang lain untuk bersama-sama meneroka peluang dan ruang dalam industri bagi mengukuhkan sektor pertanian tempatan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan tahap sara diri serta peningkatan Jaminan Keselamatan Makanan Negara.
“Sejajar dengan slogan Teguh Bersama, ATB 2019 yang telah masuk tahun ketiga penganjurannya juga diharap dapat mencetus semangat rakan-rakan tani yang lain, khususnya pesawah untuk meningkatkan amalan pertanian dan pengurusan ladang baik,” kata kenyataan itu di sini semalam. – UTUSAN ONLINE











