Gomez dirisik kelab Liga M - Utusan Malaysia

Gomez dirisik kelab Liga M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Mac – Bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez mengakui telah dihubungi wakil kelab Liga Malaysia (Liga M) yang menunjukkan tanda minat bagi mendapatkan khidmatnya.

Gomez kini tidak membimbing mana-mana pasukan selepas ditamatkan kontrak oleh Persib Bandung pada Disember lalu, dan spekulasi kedatangannya ke Liga M bertiup kencang sebaik sahaja dikaitkan jawatan di Selangor.

Jelas Gomez yang membantu skuad Harimau Selatan memenangi Piala AFC 2015, dia mengambil pendekatan kunci mulut untuk mendedahkan identiti pasukan tersebut tetapi tidak menolak kemungkinan kembali membuat penampilan di Liga M.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada wakil dari Malaysia telah menghubungi saya tetapi saya tidak mahu bercerita lebih kerana perbincangan itu masih menemui kata putus atau lebih lanjut.

“Siapa pasukan itu biarlah rahsia kerana saya menghormati semua pihak. Jika ada rezeki (membimbing pasukan Liga M), saya akan umumkan tetapi buat masa ini, tiada apa-apa rasmi secara hitam putih (dalam perjanjian),” katanya ketika dihubungi di Buenos Aires, Argentina hari ini.

Bagaimanapun, Gomez tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya ketika ditanya mendapat peluang untuk melatih salah satu pasukan yang bertanding di Liga Super.

“Seperti saya katakan tadi, saya tidak mahu bercakap lebih tetapi jika tawaran itu ada, sudah pasti saya gembira untuk kembali bermain (melatih pasukan) di Liga M.

“Liga M sentiasa istimewa di hati saya apatah lagi pengalaman manis saya bersama JDT ketika berada di sana. Tipu jika saya mengatakan tidak berminat untuk bermain di Liga M nanti.

“Liga M memiliki tarikan tersendiri. Imej Liga M sudah semakin terkenal dan ramai pemain-pemain khusus dari Asia Tenggara mahu bermain di sini. Jadi, sudah pasti saya mahu kembali jika dapat peluang itu,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini