Bercerai tetapi masih jual dadah bersama - Utusan Malaysia

Bercerai tetapi masih jual dadah bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 13 Mac – Perkahwinan mereka mungkin sudah terlerai tetapi aktiviti mengedar dadah membuatkan seorang lelaki dan bekas isterinya di sini terus berhubungan.

Malah, mereka turut mempergunakan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang merupakan anak lelaki berkenaan untuk mengaburi mata pihak berkuasa setiap kali menjalankan urusan jual beli dadah.

Bagaimanapun, lelaki berusia 42 tahun dan bekas isterinya berusia 33 tahun itu akhirnya ditahan polis di Balik Pulau di sini kelmarin ketika sedang menunggu pelanggan untuk menjual dadah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turut ditahan bersama mereka di dalam sebuah kereta dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu ialah dua lagi lelaki lain masing-masing berusia 37 dan 45 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan, dalam serbuan itu, polis merampas sebuah beg hitam yang mengandungi 17 plastik lutsinar berisi heroin seberat 214.5 gram dan empat plastik mengandungi syabu seberat 100.7 gram.

Tambahnya, tangkapan itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kampung Jawa, Perai kira-kira pukul 10 malam hari sama sebelum sebanyak 450 gram heroin serta 306.6 gram syabu dirampas.

“Semua dadah yang dirampas bernilai RM87,600 dan rumah itu dipercayai digunakan sebagai lokasi suspek menyimpan bekalan dadah.

“Dua lelaki yang ditahan bersama lelaki dan bekas isterinya itu pula baru sahaja dibebaskan dari penjara kerana kesalahan dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Anbalagan, siasatan awal mendapati sindiket tersebut sudah menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak tahun lepas.

Tambahnya, semua suspek juga didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dengan salah seorang turut dikehendaki polis.

“Mereka kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kanak-kanak lelaki berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini