IPOH 13 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempunyai indikator tertentu termasuk bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung siasatan kebakaran pusat hiburan di Jalan Sultan Dr. Nazrin Shah di sini pada 20 Februari lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya percaya hasil siasatan yang dilakukan oleh pasukan forensik dari Putrajaya dan negeri itu bagaimanapun akan dikeluarkan tidak lama lagi selepas ia dibuktikan melalui penyiasatan makmal dan forensik.
“Kita percaya ada beberapa kemungkinan sama ada dari segi elektrik dan juga disebabkan oleh kecuaian, namun, ini masih dalam tindakan kita. Kita juga mempunyai beberapa bukti dari segi CCTV dan sebagainya, melihat macam mana permulaan kebakaran kebakaran itu berlaku.
“Namun hanya selepas penyiasatan makmal dan forensik dibuat, baru kita boleh mengesahkan punca kebakaran kerana kita tidak boleh mengatakan kebakaran itu disebabkan itu dan ini, sedangkan kaedah saintifik untuk membuktikannya masih sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penganugerahan pingat kebesaran jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 JBPM negeri Perak yang turut dihadiri oleh Pemangku Pengarah JBPM negeri, Sayani Saidon di sini hari ini.
Mohammad Hamdan diminta mengulas mengenai status siasatan kebakaran pusat hiburan tersebut yang mengorbankan enam nyawa selepas mereka dipercayai meninggal dunia akibat lemas kerana menyedut asap beracun dan bukannya mati terbakar, baru-baru ini.
Menurut beliau, pihaknya mahu memastikan semua penyiasatan tersebut adalah lengkap termasuk forensik yang mengguna pakai instrumentasi tertentu bagi mengesan punca kebakaran.
“Mereka melihat secara terperinci bagi memastikan punca sebenar diperoleh kerana ia ada melibatkan tuntutan pembayaran insurans dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











