KUALA LUMPUR 13 Mac – Parlimen harus memperkenalkan akta baharu yang boleh dinamakan sebagai Akta Statut Rom bagi membolehkan Statut Rom diguna pakai dan dikuatkuasakan di dalam negara.
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd. Hassan berpendapat, Statut Rom bukanlah mahu ditolak cuma implikasinya terlebih dahulu perlu diperhalusi, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan implikasi di peringkat antarabangsa.
Tambahnya, walaupun Malaysia tidak menjadi negara ahli, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) masih lagi boleh berfungsi dengan mekanisme yang lain seperti penerimaan bidang kuasa ICC secara ‘ad hoc’ dan lain-lain.
“Cuma yang jadi kebimbangan, bila kita jadi ahli, kita kena ikut dan penuhi semua perkara tertakluk kepada Statut Rom ini. Persoalan seterusnya timbul, bagaimana nak memenuhi semua peruntukkan ini? jawapannya ialah mesti diperkenalkan ‘Akta Statut Rom’ ini.
“Bagaimanapun, ada peruntukan di dalam Statut Rom ini bercanggah dengan peruntukkan Perlembagaan Persekutuan mengenai kekebalan Yang di-Pertuan Agong atas kapasiti rasmi baginda yang harus dipinda.
“Jika tidak dipinda, secara undang-undang kita telah tidak mampu untuk menyiasat dan mendakwa ketua negara dan komander tentera seperti yang dikehendaki. Jika ICC meminta kita untuk menangkap dan menyerahkan baginda kepada ICC, kita ada tanggungjawab melaksanakannya sebagai negara ahli,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Menurut Wisma Putra, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rom bagi ICC pada 4 Mac lalu dan berkuat kuasa dan terpakai sepenuhnya ke atas Malaysia bermula 1 Jun depan.
Sementara itu, tambah Fareed, alternatif kepada akta baharu tersebut adalah untuk meminda akta sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Kanun Acara Jenayah atau Akta Konvensyen Geneva 1962 bagi memasukkan peruntukan-peruntukan Statut Rom di dalam akta tersebut.
“Harus diingati bahawa, Perkara 120 Statut Rom memperuntukkan kesemua 128 perkara termaktub di dalamnya akan terpakai tanpa pengecualian dan antara peruntukan yang harus diberi perhatian oleh Parlimen adalah Perkara 27 (Kekebalan Ketua Negara Tidak Terpakai) dan Perkara 28 (Tanggungjawab Komander dan Orang Atasan Yang Lain).
“Signifikan perkara-perkara ini adalah kerana ia akan memberi implikasi perundangan di dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya mengenai kekebalan rasmi Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu yang diperuntukkan di dalam Perkara 181 hingga 183 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Jelasnya lagi, percanggahan yang berlaku tersebut akan membatalkan peruntukan di dalam Akta Statut Rom memandangkan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara ini.
“Oleh itu, adalah wajar bagi Parlimen untuk meminda Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu sebelum memperkenalkan Akta Statut Rom. Pindaan hanya boleh dilakukan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja dan Ahli Parlimen seperti di bawah Perkara 159 dan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











