KEPALA BATAS 13 Mac – Seorang lelaki berusia 30 tahun yang aktif melakukan kegiatan samun dan ragut dengan menyasarkan warga emas di sekitar daerah ini berjaya ditahan polis pagi semalam.
Suspek ditahan sepasukan polis daripada ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) menerusi Op Rentap kira-kira pukul 1.15 pagi ketika sedang menunggang motosikal di hadapn sebuah flat di Taman Pantai Bersih, di sini.
Menurut Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, suspek ditahan susulan laporan terbaharu daripada mangsa iaitu seorang warga emas yang diragut dalam kejadian Jumaat lalu.
“Siasatan lanjut mendapati suspek terlibat dalam lima kegiatan ragut dan samun di sekitar daerah ini dengan menggunakan modus operandi menyasarkan golongan wanita warga emas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah beliau, suspek juga mempunyai lima rekod jenayah lampau dan kini direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 379 dan 392 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











