KUALA LUMPUR 13 Mac – Kejohanan Golf Yayasan Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali untuk siri ke-11, yang menyasarkan pemain golf remaja.
Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan, Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim berkata, peserta yang layak menyertai kejohanan 25 hingga 28 mac ini ialah mereka yang berusia di bawah 21 tahun dan mempunyai handicap di bawah 10.
Juara kategori lelaki akan membawa pulang hadiah biasiswa bernilai RM25,000: tempat kedua RM15,000 dan ketiga RM10,000.
Bagi kategori wanita juara memperoleh hadiah biasiswa bernilai RM20,000: tempat kedua RM10,000 dan ketiga RM5,000.
Dijangka seramai 80 orang pemain golf akan mengambil bahagian dengan 30 orang ada pemain golf remaja wanita.
Nama besar yang lahir daripada kejohanan ini ialah antaranya Gavin Green yang menjadi pemain profesional taraf dunia.
Selain kejohanan ini, yayasan turut menubuhkan akademi golf Tunas Bestari bagi menarik dan mencungkil bakat dalam kalangan remaja.
Aktiviti tersebut adalah percuma termasuk kejohanan dan akademi golf kerana ia bertujuan memberi balik kepada masyarakat.
Penganjur juga berharap syarikat korporat turut melibatkan diri dalam menjayakan program yang dirancang. – UTUSAN ONLINE











