ALOR SETAR – Kira-kira 5,000 akaun pengguna terjejas apabila tiga loji rawatan air dalam daerah Kuala Muda tidak dapat beroperasi sepenuhnya ekoran daripada pengurangan kuantiti sumber air mentah di kawasan tadahan Gunung Jerai akibat cuaca panas dan kering ketika ini.
Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, tiga loji rawatan air yang terjejas adalah Loji Headwork Tupah, Loji Headwork Merbok dan Loji Headwork Gurun.
“Pada masa ini, tiga loji rawatan air tersebut hanya mampu beroperasi sekitar 50 peratus berbanding kapasiti pengeluaran normal.
“Keadaan itu sekaligus menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air yang kritikal kepada pengguna yang berada di kawasan tinggi dan penghujung sistem,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, kawasan yang mengalami masalah bekalan air secara langsung adalah kawasan Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling, Singkir dan Gurun.
“Pihak SADA telah mengambil langkah awal bermula Januari lalu dengan melakukan pengagihan semula bekalan air bagi meningkatkan tekanan untuk diagihkan kepada pengguna,” ujarnya.
Ujarnya, bantuan bekalan air menerusi 26 buah lori telah ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mengagihkan bekalan air kepada pengguna yang terjejas.
“Bagi meringankan beban SADA, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menyelaraskan misi bantuan bekalan air ke Kedah dengan kerjasama dalam kalangan operator air,” katanya.
Katanya, antara operator air yang telah menyalurkan misi bantuan lori bekalan air adalah Lembaga Air Perak, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Syarikat Air Melaka Berhad, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd., Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.
“Lori bantuan bekalan air ini akan ditempatkan di kawasan hotspot dan bertindak sebagai ‘feeder’ kepada lori bantuan air sedia ada bagi mempercepatkan proses penghantaran bekalan air kepada pengguna,” katanya.
Tambahnya, SADA ingin menasihatkan kepada semua pengguna agar menggunakan bekalan air secara berhemah pada musim kemarau ini yang dijangka berlarutan hingga Mei depan. – K! ONLINE











