KUALA LUMPUR 13 Mac – Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman melihat pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik belum memiliki mentaliti juara untuk menjadi gandingan terbaik dunia.
Katanya, perkara itu jelas dilihat selepas mereka tewas di final All England kepada gandingan Indonesia, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan.
“Kita boleh nampak dari segi pengalaman, pasangan kita masih belum cukup jika mahu dibandingkan dengan Ahsan-Hendra yang mempunyai pengalaman luas sebagai juara di peringkat antarabangsa. Mereka (Ahsan-Hendra) menggunakan pengalaman itu untuk tewaskan kita.
“Mentaliti juara pemain kita juga belum nampak dan ia jelas dilihat pada perlawanan akhir. Memang di peringkat awal sehingga ke final mental mereka masih kuat dan boleh serap tekanan tetapi tidak di final. Final itu suasananya lain. Jadi itu perkara yang perlu kita titikberatkan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.
Pada masa sama, beliau juga mahu pastikan beregu negara itu sentiasa “laparkan” kejayaan dan tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa selain tampil konsisten dengan prestasi terbaik.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia Wong Choong Hann yang tiba bersama Paulus, berpandangan pasangan negara tersebut menunjukkan peningkatan prestasi.
“Seluruh skuad menunjukkan peningkatan prestasi seperti yang kami jangkakan, tetapi prestasi Aaron-Wooi Yik adalah di luar jangkaan kami apabila mereka berjaya mara ke final All England,” katanya.
Mengakui masih terdapat beberapa kelemahan, Choong Hann berpendapatan latihan yang konsisten dapat membaiki kelemahan selain mengukuhkan keserasian untuk menjadi antara gandingan terbaik dunia.-BERNAMA











