Kelindan maut nahas 2 lori - Utusan Malaysia

Kelindan maut nahas 2 lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 13 Mac – Seorang kelindan maut selepas lori dipandu bapanya merempuh belakang sebuah lori lain di Kilometer 221.2, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) sebelum sempadan Negeri Sembilan-Melaka arah selatan di sini semalam.

MOHAMMAD AMEERUL HAKEEM MENHAT
MOHAMMAD AMEERUL HAKEEM MENHAT 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, Mohammad Ameerul Hakeem Menhat, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian lori dinaiki dua beranak itu dari arah Seremban, Negeri Sembilan menghala ke arah Johor Bahru, Johor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kenderaan dua beranak itu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar belakang bahagian kanan sebuah lori lain di lorong sebelah kiri.

“Berikutan rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk penumpang hadapan. 

“Pemandu yang juga bapa mangsa berusia lingkungan 60-an hanya cedera ringan dan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Katanya, mayat mangsa dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.53 petang dan dua buah jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Rembau bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba terdapat seorang mangsa yang tersepit di tempat duduk dan berjaya dikeluarkan kira-kira lima minit kemudian menggunakan peralatan pemotong hidraulik.

“Mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan kritikal diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan yang kebetulan melalui lokasi kejadian, namun meninggal dunia beberapa minit kemudian,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini