IPOH 13 Mac – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kesal dengan tindakan Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tambun, Jaafar Uthman yang memakinya menerusi rakaman video yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan itu hanya mempopularkan diri Jaafar sahaja tetapi tidak menyelesaikan masalah yang cuba dibawa kepada kerajaan negeri.
Kata Ahmad Faizal, beliau juga boleh melakukan tindakan yang sama sebagai tindak balas terhadap apa yang dilakukan oleh timbalannya itu tetapi ia tidak menyelesaikan masalah.
“Saya juga boleh buat rakaman video tiap-tiap hari, saya boleh minta kawan saya rakam video saya untuk maki orang, cerita yang bukan-bukan. Saya pun boleh popular tapi itu tidak menyelesaikan masalah.
“Semua orang akan gembira jika saya pula buat video maki hamun saudara Jaafar tapi tak dapat apa-apa, macam tengok ‘show’ sajalah, macam tengok drama TV,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjiankerjasama antara Tourism Perak dan Perak Transit bagi perkhidmatan bas Hop On Hop Off (HOHO) Perak di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai rakaman video Jaafar yang memakinya baru-baru ini kerana tidak dapat berjumpa dengannya untuk mengadukan masalah rakyat.
Masalah melibatkan 200 ejen jualan tiket di Terminal Amanjaya di Meru yang bakal kehilangan punca pendapatan ekoran Pelaksanaan Sistem Jualan Tiket Berpusat (CTS) di
terminal bas tersebut. – UTUSAN ONLINE











