LANGKAWI 13 Mac – Pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes kematian kanak-kanak perempuan, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, telah disambung reman selama tujuh hari lagi.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, perintah sambungan reman itu dibenarkan oleh Pegawai Daerah Langkawi, Muhamad Arof Darus.
“Proses sambungan reman sehingga 20 Mac ini dilakukan terhadap kedua-dua suspek di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pasangan berusia 37 dan 40 tahun itu sebelum ini direman sejak 7 Mac lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kejadian menimpa kanak-kanak malang yang sebelum itu dilaporkan hilang oleh ibunya terbongkar apabila kedua-dua suspek berjaya ditahan polis di sebuah inap desa di Ampang, Selangor.
Kanak-kanak yang dipercayai meninggal dunia sejak pertengahan Februari itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati apabila hanya tengkorak kepala disyaki miliknya djumpai bersama-sama dua batang gigi dan gumpalan rambut di Gunung Raya.
Terdahulu, Nur Aisyah Aleya tinggal bersama-sama ibunya, Rosmaliah Samo, 32, di kediaman pasangan itu di Kuarters Hospital Langkawi sebelum wanita itu dihalau ekoran hubungan sulitnya dengan suspek lelaki diketahui isteri lelaki itu. – UTUSAN ONLINE











