LAUSANNE 13 Mac – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) melanjutkan tempoh penggantungan Presiden Persatuan Bolasepak Afghanistian, Keramuddin Karim yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap pemain bola sepak wanita negara itu.
FIFA dalam satu kenyataan memberitahu, mereka mengambil keputusan untuk menambah 90 hari lagi penggantungan terhadap Keramuddin bermula 12 Disember 2018 berdasarkan kepada nasihat jawatankuasa etika yang menjalankan siasatan terhadap isu itu.
“Karim akan terus digantung daripada terlibat dalam semua aktiviti melibatkan bola sepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.
Akhbar Britain, Guardian melaporkan, salah seorang daripada pemain bola sepak wanita Afghanistan, Khalida Popal mengumpul maklumat daripada bekas rakan sepasukan yang pernah terlibat dengan serangan seksual, rogol dan ugutan bunuh.
Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani menyatakan sangat terkejut dengan insiden itu namun Keramuddin menafikan perbuatan itu dan menyifatkan perkara itu sebagai konspirasi tanpa bukti.-AFP











