PUTRAJAYA 13 Mac – Kerajaan diminta mengkaji semula kelemahan yang berlaku terhadap pelaksanaan lima koridor wilayah pembangunan ekonomi.
Pengerusi Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, ini bagi memastikan agar penambahbaikan dapat dilakukan segera terhadap insiatif tersebut.
Beliau yang pernah terlibat dalam perancangan koridor itu berpandangan,
dua koridor wilayah yang berjaya adalah Koridor Wilayah Iskandar Malaysia dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
“Saya tidak kata semuanya tidak berjaya tetapi kadang-kala terdapatnya masalah yang dihadapi oleh koridor terlibat.
“Misalnya Koridor Pembangunan Sabah (SDC), ia melibatkan satu negeri manakala Wilayah Koridor Pantai Timur (ECER) pula terdapat tiga negeri, sudah tentu banyak cabaran bagi melaksanakan pembangunan di kawasan terlibat,” katanya ketika ditemui selepas Forum Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pada sama sama, Sulaiman memaklumkan, kelima-lima koridor tersebut merupakan cetusan idea Abdullah supaya seluruh negara meraih pembangunan seimbang dan semua rakyat bersama merasai nikmat kemajuan.
Katanya, berbanding era pertadbiran sebelum Abdullah, pembangunan oleh kerajaan ketika itu hanya memfokuskan kepada kawasan bandar sahaja seperti Kuala Lumpur dan Selangor.
“Jadi Tun Abdullah mencadangkan satu inisiatif agar seluruh negara dapat menikmati pembangunan menerusi jajaran lima koridor terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan memaklumkan, pihaknya akan menganjurkan wacana pada setiap bulan yang membincangkan tajuk tertentu.
“Topik disentuh berteraskan ilham dan aspirasi Abdullah sebagai negarawan dan juga Perdana Menteri yang kelima,” katanya. – UTUSAN ONLINE











