KUALA LUMPUR 13 Mac – Syarikat penerbangan tambah rendah AirAsia Group Bhd. berpotensi mendapat manfaat daripada dominasi pasaran yang lebih besar sekiranya kerajaan memutuskan untuk menghapuskan syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines Bhd. (Malaysia Airlines).
HLIB Research dalam nota kajiannya berkata, pihaknya masih meragui dengan keinginan dan kemampuan pemilik Malaysia Airlines, Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) untuk menampung kerugian syarikat penerbangan itu.
“Kami percaya adalah bijak bagi kerajaan untuk melupuskan, bukan menutup Malaysia Airlines atau mencari rakan kongsi strategik, yang akan menyelesaikan masalah dan pada masa sama mengurangkan kesan keseluruhan terhadap pemberhentian kakitangan kerana pengambilalihan entiti masih memerlukan tenaga kerja untuk menjalankan operasi Malaysia Airlines,” katanya di sini hari ini.
HLIB Research berkata, pilihan yang dibentangkan oleh kerajaan, termasuk kemungkinan menutup atau melepaskan syarikat penerbangan kebangsaan, akan menyebabkan pemotongan kapasiti untuk Malaysia Airlines, yang boleh memberi manfaat kepada AirAsia dalam mendapatkan lebih dominasi pasaran – UTUSAN ONLINE











