KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Ajib Ismail berkata, tindakan sesetengah orang Islam yang menyertai perarakan haram hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) baru-baru ini di ibu negara adalah melanggar undang-undang, ajaran agama serta budaya masyarakat Malaysia.
Beliau berkata, meskipun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan kepada setiap rakyat mengenai kebebasan bersuara tetapi ia tidak bermakna sesiapa terutama orang Islam boleh berbuat apa sahaja.
“Pihak Jawi mengutuk tindakan beberapa lelaki dan wanita Islam yang menyertai perarakan LGBT itu baru-baru ini. Sesetengah hak yang mereka tuntut semasa perarakan itu bukanlah hak yang sepatutnya mereka perjuangkan,” katanya kepada Bernama semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perhimpunan haram LGBT sempena Hari Wanita, Sabtu lalu.
Amalan gaya hidup LGBT dilarang di negara ini kerana tertakluk mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah peringkat negeri berhubung perlakuan liwat, musahaqah (lesbian) serta lelaki berlagak seperti perempuan.
Mohd. Ajib memberitahu, Jawi komited untuk melaksanakan pelbagai program dakwah yang dibimbing oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk mendidik mengenai isu LGBT kepada orang ramai termasuk satu program khas yang dibentuk bagi membantu kumpulan itu.
“Terkini, Jawi akan melancarkan kempen Santuni Komuniti kali ketiga di Putrajaya, Khamis ini (esok) bagi meningkatkan usaha untuk membantu dan menasihat kumpulan LGBT,” ujarnya.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











