KUALA LUMPUR 13 Mac – Sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat sememangnya menjadi medan untuk ahli Parlimen mendapatkan penjelasan daripada wakil kerajaan berkenaan program-program yang telah dijalankan.
Namun, ahli Parlimen haruslah membuat kajian dan penyelidikan secukupnya sebelum mengemukakan soalan supaya tidak tersalah fakta.
Begitu penegasan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Tze Tzin mendakwa Ismail tidak mengemukakan fakta yang tepat ketika bertanya tentang subsidi diterima golongan petani dan pesawah.
“Terima kasih Kuala Krau tetapi saya rasa Kuala Krau tersalah fakta dan saya rasa Kuala Krau tiada dalam dewan semalam ketika menteri menjawab isu subsidi dan sebagainya.
“Saya rasa Kuala Krau perlu buat ‘homework’lah,” katanya.
Dakwaan itu bagaimanapun dibantah Ismail yang mendakwa beliau sendiri telah bertemu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub untuk mengesahkan faktanya bahawa RM90 juta telah diumumkan kepada golongan pesawah.
Beliau malah menegur Tze Tzin yang sering tersalah sebut kawasan Parlimennya sebagai Kuala Kurau sedangkan beliau mewakili Parlimen Kuala Krau.
“Saya Ahli Parlimen Kuala Krau, bukan Kuala Kurau ya,” tegasnya.
Kedua-dua ahli Parlimen itu walau bagaimanapun tidak dibenarkan membuat penjelasan dan melanjutkan pergaduhan apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming meminta soalan seterusnya dikemukakan kerana masa yang diperuntukkan telah tamat. – UTUSAN ONLINE











