PETALING JAYA – Syarikat biofarmaseutikal multinasional British-Sweden, AstraZeneca memeterai memorandum perjanjian dengan Invest Kuala Lumpur Corporation (InvestKL) untuk melabur lebih RM500 juta di Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pelaburan berkenaan akan memperkukuh komitmennya ke arah inovasi dan pembangunan pekerja di negara ini.
AstraZeneca berkata, ia akan melaksanakan teknologi robotik dan kognitif baharu pada masa depan untuk menambah baik kecekapan serta memacu produktiviti bagi operasi global syarikat.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis pemeteraian perjanjian tersebut semalam, Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Zainal Amanshah berkata, syarikat itu akan memastikan pelaburan RM500 juta akan tercapai dalam tempoh 2019 sehingga 2023.
“Kami mahu bekerjasama dengan mereka sebanyak mungkin dari segi inovasi dalam kesihatan, digital dan pembinaan bakat. Ini merupakan peluang terbaik untuk bakat muda bekerja di syarikat global,” katanya.
AstraZeneca merupakan syarikat biofarmaseutikal yang menumpukan kepada penemuan, pembangunan dan pengkomersialan ubat-ubatan preskripsi khususnya untuk merawat penyakit bagi tiga bidang terapi merangkumi onkologi, kardiovaskular, buah pinggang, metabolisme, serta pernafasan. – Bernama











