Laporan 5G siap suku ke-4 2019 - Utusan Malaysia

Laporan 5G siap suku ke-4 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Laporan ujian dan percubaan rangkaian 5G dijangka siap dalam suku keempat tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, percubaan itu diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari April hingga Oktober tahun ini yang mana keputusannya akan dikongsikan bersama pelbagai pemegang taruh dalam Pasukan Petugas 5G yang bertanggungjawab menyiapkan laporan itu.

Jelasnya, ia adalah satu inisiatif kerajaan untuk memastikan pelan yang menyeluruh dalam pelaksanaan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pasukan petugas te­lah ditubuhkan untuk mengusulkan cadangan-cadang­an yang relevan berkaitan pelaksanaan 5G. Ia me­waki­li kedua-dua pihak permintaan dan penawaran daripada sektor swasta dan awam,” kata­nya dalam ucaptama Persidangan Inovasi Digital Dewan Perniagaan Britain Malaysia di sini semalam.

Laporan sebelum ini menyebut percubaan langsung 5G telah bermula di Cyberjaya awal bulan ini yang dijalankan oleh Ma­xis Bhd. secara kolaborasi dengan Huawei.

Sementara itu, Meru di Perak akan menjadi lokasi pertama di luar Lembah Klang bagi pelaksanaan percubaan serupa yang merupakan inisiatif kerajaan negeri Perak.

Menurut Gobind, Projek Gentian Optik dan Ke­salinghubungan Negara (NFCP) di bawah SKMM telah menetapkan sasaran untuk mewujudkan per­khidmatan internet berkelajuan Gigabit di kawasan perindustrian terpilih yang berimpak tinggi serta strategik menjelang tahun 2020 dan di semua ibu negeri menjelang 2023.

“Ini bagi memastikan kawasan yang mempu­nyai kes penggunaan 5G yang tinggi telah bersedia untuk melaksanakan rangkaian apabila standard-stan­dardnya telah dimuktamadkan,” katanya.

Beliau turut mengulangi bahawa kerajaan percaya akses kepada teknologi serta internet adalah hak setiap rakyat Malaysia dan bukannya satu keistimewaan. Justeru, kata­nya, akses kepada internet jalur le­bar berkelajuan tinggi perlu diberikan keutamaan dan dianggap sama penting­ dalam hal bekalan air serta elektrik. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini