KUALA LUMPUR 13 Mac – Setiap rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing menerusi ruangan komen dalam portal berita.
Ahli Majlis Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bersekutu Malaysia, Zhafirin Mat Yusof berkata, kerajaan seharusnya membenarkan ruangan komen dalam portal berita sebagai satu platform kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka.
Menurutnya, langkah itu juga selaras dengan amalan `kebebasan bersuara’ yang diuar-uarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama ini.
“Jadi, apabila disekat, di manakah hak kebebasan bersuara yang kerajaan PH perjuangkan selama ini?
“Apakah ia hanya omokan kepada rakyat untuk diguna pakai terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan ruangan komen dalam portal berita mungkin tidak lagi dibenarkan kerana kerajaan dalam pertimbangan untuk menggubal satu undang-undang yang berkaitan dengan aspek tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan dan belum dibawa ke Kabinet untuk perbincangan lanjut.
Jelas beliau, pengendali portal berita perlu bertanggungjawab terhadap komen-komen tersebut kerana ia ditulis di ruangan yang disediakan mereka.
Mengulas lanjut, Zhafirin memberitahu, meskipun niat murni kerajaan untuk membendung komen-komen berunsur provokasi adalah sangat baik namun mereka menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mempunyai kuasa untuk memadam kenyataan berbaur provokasi dan perkauman.
Katanya, kerajaan juga mempunyai akta yang termaktub dalam Perlembagaan yang diguna pakai untuk melindungi peruntukan agama dan kaum daripada komen yang menyentuh sensitiviti masyarakat.
Selain itu ujarnya, terdapat juga peruntukan akta sedia ada yang melindungi individu juga sesiapa sahaja daripada komen provokasi dan perkara fitnah.
“Oleh itu, disarankan supaya kerajaan lebih memfokuskan kepada unsur dan nilai-nilai murni terhadap semua kaum. Pendidikan mengenai perpaduan rakyat lebih penting dengan memberikan kesedaran hormat-menghormati, mampu membendung gejala negatif daripada menghina agama dan bangsa lain di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











