KUALA LUMPUR 12 Mac – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan segelintir penyokong skuad Harimau Malaya bahawa harga tiket RM45 sekeping bagi menyaksikan Kejohanan Empat Negara Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 20-23 Mac ini adalah mahal.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, kadar berkenaan adalah melibatkan dua perlawanan iaitu aksi Oman dan Afghanistan pada 4.30 petang serta aksi Malaysia dan Singapura pada pukul 8.45 malam.
“Pertandingan ini dianjurkan pihak swasta (dengan kerjasama FAM), jadi harga tiket ditentukan pihak Airmarine (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Pro Events International Sdn. Bhd. yang telah mencapai persetujuan mengenakan harga tiket sedemikian.
“Bagi saya, harga yang dikenakan berbaloi memandangkan pasukan yang menyertai Piala Airmarine berada pada ranking (dunia) lebih baik daripada kita,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pusat pertama skuad Harimau Malaya di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Beberapa netizen di laman sosial mendakwa harga tiket RM45 bagi tempat duduk utama adalah lebih mahal, jika dibandingkan harga perlawanan persahabatan melibatkan skuad kebangsaan yang berharga RM20 sekeping. – BERNAMA











