KUALA LUMPUR 12 Mac – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali meluangkan masa kira-kira dua jam untuk menyaksikan tayangan perdana filem Raj of The East di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam ini.
Terdahulu sebelum tayangan bermula, penerbit merangkap pengarah filem tersebut, Tan Sri Adam Kadir dalam ucapan ringkasnya memberitahu filem itu menceritakan kisah pengaruh British di negara ini.
Menurutnya, filem berbahasa Inggeris itu telah ditayangkan di Teater Laemmle, Los Angeles, California, Amerika Syarikat selama tujuh hari pada Disember lalu.
Filem ini layak dicalonkan dalam Anugerah Oscar malah saya dimaklumkan 1,000 peserta daripada Oscar Academy mengundi filem ini untuk dicalonkan bagi semua kategori.
“Salah satu cabaran menghasilkan filem adalah kami perlu mengelak daripada kewujudan ciri-ciri moden agar bersesuaian dengan jalan cerita yang berlatarkan Tanah Melayu pada era 1900,” katanya.
Raj of The East merupakan sebuah filem semi biopik yang mengangkat sejarah kehidupan bekas presiden British Pahang, Sir Hugh Clifford yang datang ke Tanah Melayu pada 1883.
Selain Datuk Rahim Razali yang memegang watak sebagai Tok Batin, filem tersebut turut dibintangi beberapa pelakon lain termasuk Datuk Yasmin Yusoff, Rashidi Ishak serta Adeline Tsen. – UTUSAN ONLINE











