KUALA LUMPUR 12 Mac – Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan sebanyak RM2.25 juta untuk biasiswa kepada pelajar bagi tahun ini.
Jumlah Biasiswa YBR tersebut adalah hasil daripada keseluruhan pembiayaan pendidikan yayasan sebanyak RM24.88 juta.
Pengerusi YBR, Datuk Noripah Kamso berkata, biasiswa tersebut merupakan usaha yayasan untuk melahirkan graduan berinovatif dan kompeten di samping menjadikan pelajar lebih berdaya saing.
“Sebanyak 70 peratus daripada dana yang diterima daripada Bank Rakyat adalah untuk pembiayaan pendidikan, 20 peratus untuk program mampan manakala 10 peratus untuk operasi pelaburan.
“Saya yakin peruntukan pembiayaan pendidikan serta program modal insan yang menyeluruh akan berupaya memacu kecemerlangan dalam kalangan pelajar berpotensi sekali gus melahirkan insan berkualiti minda kelas pertama,” katanya dalam majlis Pelancaran Biasiswa YBR di Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin.
Biasiswa tersebut menawarkan pembiayaan pendidikan kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat asasi dan ijazah sarjana muda di universiti awam serta swasta di dalam dan luar negara.
Permohonan Biasiswa YBR terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun yang akan melanjutkan pengajian secara sepenuh masa dalam bidang data sains, pengkomputeran, kejuruteraan, teknologi maklumat, pengurusan dan kemanusiaan.
Setakat ini, YBR memberi manfaat penajaan kepada 4,904 pelajar dan 355,091 murid melalui pembiayaan pendidikan tersebut.
Noripah berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen YBR dalam menyokong falsafah pendidikan kebangsaan untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
“Usaha Biasiswa YBR adalah untuk menyahut hasrat kerajaan bagi membentuk masyarakat bersatu padu dengan menjadi bidang pendidikan sebagai titik mulanya,” katanya.











