PUTRAJAYA 12 Mac – Malaysia tidak akan mengalah dalam isu perjanjian air dengan Singapura dan akan terus menuntut haknya di bawah Perjanjian Air 1962 serta mencari penyelesaian yang adil untuk rakyat Malaysia.
Wisma Putra menegaskan, sekiranya Singapura tetap enggan menyelesaikan isu melalui rundingan, Malaysia bersedia untuk membawa perkara ini ke proses timbang tara yang juga diperuntukkan dalam Perjanjian 1962.
Jelasnya, kerajaan Malaysia sentiasa berpegang teguh dengan prinsip jalinan persahabatan yang baik dengan semua negara, termasuk Singapura.
“Walaupun dikritik dengan cara yang tidak adil, Malaysia akan tetap mencari penyelesaian bersama terhadap isu ini melalui perbincangan dan proses rundingan,” jelasnya dalam satu kenyataan malam ini.
Kenyataan ini dikeluarkan sebagai lanjutan daripada menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Wisma Putra, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Singapura pada 12 November 2018, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya mendapatkan persetujuan rakan sejawatnya itu untuk memulakan perundingan tentang perjanjian tersebut yang tertangguh sejak sekian lama.
Kedua-dua Perdana Menteri, jelas Wisma Putra, bersetuju agar Peguam Negara Malaysia dan Singapura mengadakan perundingan berkenaan di mana dalam pertemuan pertama, kedua-dua pihak bersetuju bahawa perjanjian tersebut wajar dikaji semula.
Tambahnya, kini kedua-dua pihak seharusnya memasuki fasa kedua perundingan, iaitu membincangkan modaliti untuk menentukan harga air yang baharu.
“Malangnya, kenyataan yang dibuat oleh Menteri Luar Singapura (Vivian Balakrishnan) di Sidang Parlimen Singapura pada 1 Mac 2019 tidak menggambarkan persefahaman yang dicapai oleh kedua-dua negara sebelum ini.
“Malah, beliau mengkritik dan membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas terhadap Malaysia, ” jelas Wisma Putra lagi.
Malaysia, jelas Wisma Putra, sentiasa menghormati dan tidak pernah melanggar terma-terma dalam Perjanjian 1962.
“Kerajaan Malaysia sekadar menyatakan yang ia mempunyai hak untuk semakan harga air mentah yang dijual kepada Singapura, selepas 25 tahun Perjanjian1962 berkuat kuasa. Hak Malaysia tidak boleh dipertikaikan.
“Klausa 14 Perjanjian itu jelas memperuntukkan bahawa ia boleh dikaji semula pada hari ini, dan tidak hanya pada tahun 1987, kerana klausa itu menyatakan “…shall be subject to review after the expiry of 25 years from the date of these presents…”. Perkata “after” di dalam klausa ini bermakna “selepas” dan bukannya “semasa”,” tegasnya.
Tegas Wisma Putra lagi, Malaysia sebenarnya yang selama ini memberikan subsidi kepada Singapura dengan menjual air mentah sebanyak 250 juta gelen sehari dengan kadar hanya 3 sen
(SG$ 1 sen) sahaja bagi setiap 1,000 gelen.
Jelasnya, subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada Singapura sejak tahun 1962 mencecah berbilion ringgit. Ini tidak termasuk bekalan air mentah percuma yang diberikan kepada Singapura dari tahun 1927 hingga 1961.
Wisma Putra turut menolak tuduhan Singapura bahawa republik itu membuat pelaburan yang tinggi di Johor bagi pembinaan dan operasi Empangan Linggiu dan ini memberi manfaat kepada negeri Johor.
Sebaliknya, jelas Wisma Putra, tujuan utama Empangan Linggiu ini dibina oleh Singapura ialah bagi memastikan kepentingannya untuk mengabstrak 250 juta gelen sehari air mentah dari Sungai Johor di bawah Perjanjian 1962 dilindungi.
“Jumlah pelaburan ini adalah amat kecil jika dibandingkan dengan keuntungan yang dikaut oleh Singapura melalui pembelian air mentah dengan kadar yang amat murah.
“Malah Singapura juga mendapat manfaat langsung daripada pelaburan Malaysia seperti pembinaan baraj Sungai Johor yang mencecah jutaan ringgit. Ini tidak termasuk kos-kos lain yang ditanggung oleh Kerajaan Malaysia untuk memastikan bekalan air yang mencukupi di Sungai Johor, ” tegasnya.
Sehubungan itu, tegas Wisma Putra, kenyataan negatif dan tidak berasas Balakrishnan tidak menggambarkan Singapura sebagai jiran yang baik dan tidak mencerminkan komitmennya untuk memelihara jalinan hubungan dua hala antara kedua-kedua negara berdasarkan prinsip saling menghormati dan kesaksamaan. – UTUSAN ONLINE











