JEMPOL 12 Mac – Nasib enam sekeluarga yang hidup dalam kesempitan sebelum ini umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila rumah mereka di Kampung Serting Ulu di sini, terbakar kelmarin.
Hussin Mamat, 55, dan isteri, Dewi Muliyawati Yanto, 36, dan empat anak mereka kini terpaksa hidup dalam keadaan tidak sempurna di bahagian dapur rumah yang tidak terjejas dalam kejadian itu.
Mereka juga tidak mempunyai keperluan harian termasuk pakaian yang telah musnah terbakar, manakala pada waktu malam terpaksa tinggal dalam keadaan bergelap selepas bekalan elektrik dipotong kerana litar pintas.
Menurut Hussin dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan sebagai pemetik kelapa sawit di kampung itu, dia tidak mampu untuk membaik pulih rumah tersebut.
Katanya, jika tidak ada bantuan diterima daripada mana-mana pihak, mereka terpaksa tinggal di dapur rumah buat masa yang lama sehingga wangnya mencukupi.
“Setakat ini kami tak ada pilihan, terpaksa tidur di dapur terlebih dulu. Saya tak mahu menyusahkan jiran atau ahli keluarga lain. Apa pun jadi kami akan bertahan dengan hidup dalam keadaan tidak sempurna ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Dewi Muliyawati berkata, dua orang anaknya yang berumur 18 dan 12 tahun masih bersekolah, seorang lagi berusia 17 tahun adalah orang kurang upaya (OKU) manakala yang bongsu berumur dua tahun setengah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional milik Dewi Muliyawati (05114-41-00000499-7) atau menghubungi talian 011-56854471.











