BUTTERWORTH 12 Mac – Seramai tiga penghuni sebuah flat di Taman Desa Cemara, Seberang Jaya di sini berjaya diselamatkan daripada terperangkap dalam kediaman mereka yang sedang terbakar hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 malam tadi, penghuni lelaki berusia 19, 20, dan 23 tahun itu mengalami kecederaan akibat melecur disambar api sebelum mereka diselamatkan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, peratusan kemusnahan akibat kebakaran yang berlaku di ruang tamu itu dianggarkan 50 peratus.
“Terdapat tiga mangsa yang terperangkap dalam unit flat berkenaan dan berjaya diselamatkan pasukan bomba.
“Namun mereka mengalami kecederaan akibat melecur dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya,” katanya, di sini hari ini.
Jurucakap itu berkata, api berjaya dikawal pada pukul 7.35 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 8.51 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan.
“Operasi berkenaan dilakukan oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dan BBP Butterworth serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela berdekatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











