SEBERANG PERAI – Tiga penghuni sebuah unit flat di Taman Desa Cemara, Seberang Jaya di sini nyaris maut apabila terperangkap di dalam kediaman mereka yang terbakar hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 petang itu, penghuni lelaki berusia 19, 20 dan 23 tahun itu melecur akibat disambar api sebelum mereka diselamatkan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah flat di tingkat tiga berkelusan kira-kira 56 meter persegi.
“Peratusan kemusnahan akibat kebakaran yang berlaku di ruang tamu adalah dianggarkan 50 peratus.
“Terdapat tiga mangsa yang terperangkap sebelum berjaya diselamatkan pasukan bomba, namun mereka melecur dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.
Menurut jurucakap itu, api berjaya dikawal pada pukul 7.35 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 8.51 malam.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Operasi berkenaan dilakukan oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dan BBP Butterworth serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela berdekatan. – K! ONLINE











