KUALA LUMPUR 12 Mac – Skuad Harimau Malaya hari ini memulakan sesi latihan pertama mereka dalam persiapan menghadapi Piala Air Marine tanpa kehadiran jurulatih, Tan Cheng Hoe, selain tiga tonggak.
Tugas Cheng Hoe, yang menghadiri majlis bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) diambil alih pembantunya, S. Balachandran,
Tiga pemain yang belum mendaftar iaitu Ahmad Hazwan Bakri dan Syazwan Andik akan muncul sejurus selepas membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menghadapi kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC dalam Liga Juara-Juara hari ini manakala Matthew Davies masih berada di Australia.
“Ketiga-tiga pemain tersebut akan menyertai pasukan esok. Davies sudah mendapat kelulusan Cheng Hoe untuk hadir ke latihan lewat sehari.
“Cheng Hoe pula ada majlis dengan AFC dan dia akan memulakan latihan bersama pasukan pada esok petang,” kata Pengurus Harimau Malaya, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi pada sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, hari ini.
Kejohanan jemputan Piala Air Marine akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 20 hingga 23 Mac ini melibatkan Oman, Afghanistan, Singapura dan Malaysia.
Harimau Selatan akan menentang Singapura pada 20 Mac, sebelum bertemu pemenang di antara Oman dan Afghanistan. – UTUSAN ONLINE











