JOHOR BAHRU – Sebanyak 13 buah sekolah diarahkan ditutup sementara sehingga satu tarikh diumumkan kelak susulan kejadian pembuangan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Sim Sim, Pasir Gudang pada Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, arahan penutupan itu melibatkan empat buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan tujuh buah Sekolah Kebangsaan (SK) serta dua buah Sekolah Agama.
Menurutnya, sekolah menengah yang terlibat ialah SMK Pasir Putih, SMK Tanjung Puteri Resort dan SMK Kota Masai 2.
“Manakala sekolah rendah pula ialah SK Taman Pasir Putih, SK Pasir Putih, SK Tanjung Puteri Resort, SK Kota Masai 2, SK Kota Masai 3, SK Kota Masai dan SK Perigi Acheh.
“Dua buah sekolah agama terlibat ialah Sekolah Agama Kampung Pasir Putih dan Sekolah Agama Taman Pasir Putih,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dr. Sahruddin berkata, arahan penutupan 13 buah sekolah ini dikeluarkan bermula esok (13 Mac) sehingga tarikh ditetapkan.
Jelasnya, arahan ini susulan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah mengaktifkan jawatan kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim.
Beliau menambah, jawatankuasa kerja ini diaktifkan bagi menyelaraskan dan memantau kejadian tumpahan bahan kimia yang berlaku.
“Mesyuarat bersetuju untuk melantik kontraktor yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Sungai Kim Kim sepanjang 1.5 kilometer yang akan di selaraskan oleh pihak Jabatan Pengairan & Saliran dan JAS negeri. – K! ONLINE.











