Zii Jia mahu cemerlang dalam setiap kejohanan - Utusan Malaysia

Zii Jia mahu cemerlang dalam setiap kejohanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Mac – Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia mahu menampilkan aksi cemerlang dalam setiap pertandingan yang disertainya bagi mencerahkan laluannya ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pemain berusia 20 tahun itu kini menghuni ranking ke-27 dunia dan menjadi nama yang disebut-sebut untuk menggalas cabaran negara di temasya sukan berprestij itu.

Katanya, dia mahu berjuang habis-habisan dalam setiap kejohanan disertai bagi mendapatkan mata maksimum, bermula dengan Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland yang berlangsung, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Aksi kelayakan ke Tokyo 2020 akan bermula bulan hadapan, jadi semua pemain akan berjuang bermati-matian untuk aksi terbaik di setiap kejohanan bagi mendapatkan mata bagi memperbaiki kedudukan ranking.

“Saya juga seperti mereka kerana bagi setiap atlet, Sukan Olimpik adalah pentas kejohanan terbesar buat kami,” katanya.

Berdasarkan peraturan yang ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hanya seorang pemain dibenarkan mewakili setiap negara sekiranya berada dalam kelompok 38 teratas dunia, sementara dua wakil jika menghuni kelompok 16 terbaik.

Zii Jia percaya dia akan meraih keputusan cemerlang sekiranya dia menampilkan aksi terbaik setiap perlawanan dan dijadual berdepan pemain Indonesia, Jonatan Christie di pusingan pertama.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan tentang Jonatan kerana saya sentiasa cuba bermain seperti biasa.

“Saya harap mampu untuk keluarkan permainan sebenar kerana ia dapat membantu saya melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini